Tuesday, 2 October 2012

Bengkel VLE-FROG ..Halo

Aspirasi pendidikan di Malaysia melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025) , jelas ia selaras dengan perkembangan pendidikan global . Bagi menyediakan modal insan negara ini ,setanding dengan negara maju kepelbagaian  program peningkatan profesionalisme keguruan dalam pengajaran merupakan agenda utama Kementerian Pendidikan.
Cetusan fenomena HALO / VLE-FROG, di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 pada tanggal 02 Oktober 2012 bersamaan hari Selasa,  jam 1.15 tengahari .Ketika sesi petang telah hampir menamatkan sesi bengkel VLE-FROG dan guru sesi pagi menunggu mengambil giliran., fenomena Halo telah berlaku seolah-olah ia menuju ke SK Taman Bunga Raya 1, mengajak semua warga sekolah memberi inspirasi dan meneroka dalam penyampaian ilmu kepada anak didiknya selari  mengubah gaya pembelajaran yang lebih fleksibel.
         SubhanaAllah, Ya Rabb berilah kami petunjuk ke jalan yang lurus dalam mendidik anak-anak SK Taman Bunga Raya1,Hulu Selangor .Sesungguhnya kami sedar dan insaf, Anugerah Pemimpin Teknologi Maklumat 2012 , hanya pencetus untuk kami semua menggerakkan budaya pembelajaran  yang lebih fleksibel seiring dengan perkembangan teknologi dan memecah sempadan globalisasi.
 
 
 

Saturday, 22 September 2012

Berhemah

Zaman kanak-kanak sangat manis walaupun melalui keperitan untuk mencari ilmu, sudah tentu berbeza dengan zaman era global ini. Saya terpaksa berjalan 3-7 kilometer, ia sangat biasa dan tenang melaluinya tanpa prejudis terhadap laluan sukar itu. Pergi , balik dan pergerakkan selepas perhimpunan sangat menghiburkan .Selepas perhimpunan rasmi kami akan bergerak dalam barisan ke sekolah utama yang jarak antara satu sama lain sejauh 4 kilometer.
Satu kenangan sangat manis, setiap kali lalu rumah seorang penduduk kampung kami akan bercakap dan mengusik itik dan angsanya yang kerap mengejar kami. Lintang pukang kami berlari dengan papan hijau di tangan dan beg sekolah yang berat dengan buku teks yang di beli sendiri oleh kedua ibu bapa kami.
Paling seronok, bila tiba di rumah, papan hijau yang ditulis dengan kapur putih telah terpadam semua kerja rumah yang di salin di sekolah pagi tadi. Ketika darjah Lima, teringat seorang guru "Peace Corps" dari Britain yang mengajar Bahasa Inggeris  dan Guru dari Indonesia mengajar Ilmu Hisab ( Matematik ). Tidak faham mereka berbicara, tidak faham apa yang diajar, tetapi saya tetap hadir ke sekolah berjalan kaki berpanas dan berhujan. Jika hujan, berkongsi payung dengan tiga beradik lain atau balik basah kuyup bila tiba di rumah.
Sebagai anak kampung ,( walau pun hanya 15 kilometer dari  Kuala Lumpur ), belanja 5 sen atau bawa 20 sen sudah cukup untuk membeli nasi lemak atau ais kepal berbungkus daun pisang.
Teringat ketika darjah 2, rumah kami terbakar kerana teraniaya , habis semua buku-buku teks yang di beli dari titik peluh kedua orang tua .Mereka menangis bukan kerana rumah kedai dua tingkat ,tempat mereka mencari rezeki terbakar tetapi sedih melihat buku-buku keenam-enam anaknya tersusun hangus.
Saya didewasakan dan dididik dengan kesusahan,kesempitan hidup orang tua mencari rezeki dari pagi menoreh getah,tengahari berniaga ikan, petang menjadi tukang kebun di rumah "Mat Saleh" di Petaling Jaya sejauh 25 Kilometer, ibu membuka kedai runcit dan waktu malam berniaga kedai kopi.Tertanam semangat jati diri anak Melayu dan tidak pernah mengenal jemu,secara rela hati bangun setiap pagi dalam mencari ilmu dan mengaji di surau pada sebelah malamnya.
Banyak pengalaman hidup yang tidak dapat dicoretkan, bila termimpi-mimpi zaman silam rasa insaf dan mengundang tekad untuk hidup berhemah dalam nikmat ujian Allah dengan limpahan kesenangannya. Al Fatiha untuk arwah ayahanda Haji Zubir bin Dolfadzli.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...