Wednesday 3 August 2011

Teks Ucapan Puan Azian Sali Tokoh Guru Bulan Julai

Assalamualaikum wbt........
Yang Berusaha Pn. Zalinah bt Zubir Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1), Yang dihormati barisan pentadbir, rakan-rakan guru dan murid-murid yang dikasihi sekalian.
BERSYUKUR kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita diberikan kesempatan untuk berhimpun di pagi ini. Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Guru Besar dan guru-guru SKTBR (1) kerana membenarkan saya menyampaikan sedikit ucapan di majlis yang besar ertinya kepada diri saya sebagai warga pendidik.



Semua guru memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan murid-murid. Alhamdulillah, hari ini saya dengan sokongan warga SKTBR (1) telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Pendidikan. Pencapaian ini saya anggap penting bagi diri saya sebagai suatu usaha peningkatan ilmu dalam bidang pendidikan bagi mendidik murid-murid dikasihi sekalian.

Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi pencetus semangat kepada murid-murid untuk berjaya dalam menimba ilmu dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang terutamanya murid-murid tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR.

Murid-murid, warga SKTBR (1), segala kejayaan yang dicapai tidak seharusnya melekakan kita. Benar, sebahagian murid-murid mungkin telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya di masa hadapan tanpa usaha yang berterusan.


Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka pendekatan terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan ( lebih cemerlang).
Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada kepada Guru Besar, guru-guru dan yang dikasihi murid-murid sekalian yang banyak membantu dan mendorong saya untuk mencapai kejayaan ini.



Guru itu umpama lautan luas
Menghampar ilmu tidak terbatas
Bagai ombak keras bergelombang
Kepada murid mendamai tenang
Guru itu laksana gunung
Semua murid akan dibimbing
Persis batu dan pasir terdampar
Tugasnya mulia mendidik mengajar

Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya secara langsung atau tidak langsung untuk mendapatkan kejayaan ini . Kepada rakan guru, saya berdoa dan berharap supaya segala cita-cita dan usaha kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan, membina negara bangsa yang sejahtera dan harmoni diberkati dan dipermudahkan oleh-Nya.
Sekian ..... terima kasih, Warga SKTBR (1).





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...